Tidak dinafikan Sabah menawarkan anda percutian yang mungkin anda takkan dapat lupakan. Banyak tempat di Sabah yang menarik untuk kita kunjungi. Kali ini, saya akan menulis mengenai salah satu tempat dengan view yang terbaik di negeri Sabah.
Polumpung Melangkap View Camp Site
Polumpung Melangkap View Camp Site ini terletak di daerah Kota Belud. Lebih kurang dua jam pemanduan daripada Kota Kinabalu. Apa yang menarik di sini? Sudah tentunya pemandangan sungai berlatar belakangkan gunung tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu.
So bagaimana hendak ke Polumpung? Jangan risau, sekiranya anda menyewa kereta daripada Kota Kinabalu, anda boleh menggunakan dua jalan. Jalan yang pertama adalah Jalan Tuaran-Kota Belud. Bagi anda yang ingin memandu secara santai, saya cadangkan anda menggunakan jalan ini. Bagi anda yang inginkan sedikit adventure, anda bolehlah menggunakan jalan Tamparuli-Kota Belud. Jalan ini merupakan jalan berbukit-bukau kerana jalan ini merupakan jalan utama jika kita hendak ke Kundasang. Jarak perjalanan lebih kurang sama iaitu 2 jam.
Sampai Polumpung Melangkap View camp Site nak buat apa?
Aktiviti-aktiviti yang boleh anda lakukan sepanjang anda berkunjung ke Polumpung ini antaranya adalah barbeque, mandi-manda, berkhemah dan mengambil gambar! Takkan anda hendak melepaskan peluang mengambil gambar sungai berlatar belakangkan Gunung Kinabalu kan.
Waktu malam pula, jika anda peminat langit malam dan suka mengambil gambar bintang-bintang di langit malam, disinilah tempat yang sangat sesuai. Dengan malam yang sunyi dan langit yang indah, anda takkan melepaskan peluang untuk mengambil gambar “Milky Way”. Kalau anda berkunjung ke sini, jangan lupa untuk membawa baju sejuk ya. Sebab waktu malam dan awal pagi sejuk dia memang tak boleh bawa bincang.

Berlatar belakangkan Gunung Kinabalu
