
Limbang terletak di utara negeri Sarawak berhampiran dengan negara Brunei Darussalam dan bersempadan dengan negeri Sabah. Ramai sebenarnya tak tahu, bahagian Limbang menawarkan anda destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Untuk artikel kali ini, penulis membawa anda ke ulu Limbang dimana terletaknya Mentawai Ranger Station yang merupakan pintu masuk utama ke Taman Negara Mulu jika anda melalui Limbang. Ramai pelancong dari luar negara, akan memilih Limbang untuk masuk ke Taman Negara Mulu kerana inginkan pengalaman yang berlainan.
Selalunya, pelancong akan menaiki flight terus dari airport Miri ke Mulu. Namun, jika pelancong memilih ke Mulu melalui Limbang, perjalanan mereka akan lebih mencabar dan penuh kepuasan.

Bagi yang belum pernah sampai ke sini, ini adalah panduan bersama untuk anda yang bercadang ingin meneroka alam sekitar di ulu Limbang.
Untuk sampai ke Mentawai Camp ini, anda perlu memandu selama 1 jam 30 minit lebih kurang untuk sampai ke Kampung Kuala Mendalam. Kampung Kuala Mendalam ini merupakan destinasi popular dalam kalangan pelancong luar untuk bermalam. Kampung Kuala Mendalam ini merupakan rumah panjang yang menyediakan perkhidmatan homestay.



Jika anda berminat untuk bermalam di homestay rumah panjang Kuala Mendalam ini, anda boleh melawati homepage facebook Kampung Kuala Mendalam di link ini https://www.facebook.com/HomestayKgkualaMedalam.
Ok berbalik kepada tajuk utama artikel kita, dari Kampung Kuala Mendalam, perjalanan akan diteruskan menggunakan perahu panjang ke Mentawai Camp. Kecepatan untuk sampai ke Mentawai Camp ini adalah bergantung kepada sungai. Jika sungai airnya besar, maka lebih cepat sampai. Namun, jika sungai cetek disebabkan musim kemarau, perjalanan akan mengambil masa sehingga 4 jam. Ini kerana di kawasan sungai yang cetek, penumpang akan turun dari perahu dan bersama-sama menolak perahu. Amacam? Adventure bukan.
Sampai di Mentawai Camp, kita perlu melaporkan diri kepada pegawai Ranger yang bertugas. Ini kerana kita telah memasuki Taman Negara. Setelah melapor diri kepada Ranger yang bertugas, kita bolehlah mendaftar di hostel yang disediakan di Mentawai Camp ini. Bolehlah angkat beg ke bilik masing-masing.
Suasana hutan yang cukup menenangkan diiringi dengan bunyi sungai berbatu yang mengalir membuatkan kita mensyukuri ciptaan Tuhan.

Mentawai Camp ini merupakan pintu masuk untuk ke Taman Negara Mulu jika anda melalui Limbang. Jika anda ingin ke Mulu, dari Mentawai, anda akan terus menaiki perahu sehingga sampai ke jeti Kuala Terikan. Dari jeti Kuala Terikan, anda akan berjalan kaki selama 4-5 jam melalui Headhunter’s Trail. Laluan ini digelar Headhunter’s trail kerana dahulu ini merupakan laluan suku kaum Kayan untuk memburu kepala di Sungai Melinau berhampiran Mulu. Juga disediakan tempat berehat kalau anda letih berjalan, antaranya adalah Lubang Cina Shelter.
Selepas itu, anda akan sampai di Camp 5. Camp 5 menyediakan tempat bermalam bagi anda yang ingin bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Mulu. Perjalanan anda ke Camp 5 akan disajikan dengan pemandangan hutan hujan yang sangat memukau. Bunyi hutan dan burung-burung akan menemani anda sepanjang perjalanan anda melalui Headhunter’s Trail ke Camp 5.
Jangan terkejut jika anda terserempak dengan haiwan-haiwan liar seperti rusa, pelanduk, ular, serangga-serangga kecil, burung kenyalang, babi hutan dan bermacam-macam lagi jenis haiwan sepanjang anda berada di sini. Tumbuhan liar juga sangat banyak ada diantaranya merupakan spesies yang dilindungi seperti orkid hutan dan periuk kera (pitcher plant).






So, jika anda inginkan percutian yang mencabar, datanglah ke Limbang dan melawat Mentawai Camp. Dari Mentawai, anda boleh meneruskan perjalan ke gunung dan gua Mulu, gunung dan gua Buda, menikmati pemandangan hutan hujan, melalui denai Headhunter’s dan apa yang menarik adalah, pengalaman yang anda tidak akan dapati di tempat lain. Mari cuti-cuti Sarawak.